Saya suka rumah saya kerana rumah saya ada jiwa.
Bukan kerana rumah saya paling besar.
Bukan kerana rumah saya paling cantik.
Tetapi kerana di dalam rumah itu ada jiwa-jiwa yang saya sayang.
Bagi saya, rumah bukan sekadar tempat kita tinggal.
Rumah adalah tempat kita pulang.
Selepas seharian berada diluar, berdepan dengan dunia, dengan segala tuntutan, amanah, tanggungjawab, kata-kata dan perkara yang kadang-kadang melelahkan... rumah adalah tempat saya meletakkan semuanya seketika.
Di rumah, saya boleh menarik nafas panjang.
Saya boleh berehat.
Saya boleh melepaskan segala lelah.
Dan yang paling penting, saya boleh menjadi diri saya sendiri.
Saya tidak perlu sentiasa kuat di rumah.
Kalau penat, saya boleh diam.
Kalau sedih, saya boleh menangis.
Kalau bahagia, saya boleh ketawa sepuasnya.
Kerana rumah tidak pernah meminta saya menjadi sempurna.
Rumah hanya menerima saya seadanya.
Kadang-kadang saya duduk sendirian di rumah sambil minum kopi, melihat sekeliling dan terfikir....
Berapa banyak cerita yang rumah ini sudah saksikan?
Ia menyaksikan hari-hari saya membesar.
Ia menyaksikan hari-hari saya bahagia.
Ia juga menyaksikan hari-hari saya jatuh dan bangun semula.
Di sinilah banyak kenangan kecil tercipta. Makan bersama, berbual perkara yang tidak penting, ketawa kerana perkara yang mungkin orang lain tidak faham, dan saat-saat sunyi yang hanya kita sendiri tahu nilainya.
Mungkin bagi orang lain, ia cuma sebuah rumah.
Tetapi bagi saya, ia adalah sebahagian daripada perjalanan hidup.
dan apabila saya fikir tentang kata-kata,
"Inilah rumah yang kita warisi"
Saya rasa warisan itu bukan semata-mata tentang rumah, dinding atau apa yang ada di dalamnya.
Kita mewarisi lebih daripada itu.
Kita mewarisi kasih sayang.
Kita mewarisi nilai.
Kita mewarisi kenangan.
Kita mewarisi cara kita menghormati orang, cara kita menjaga keluarga, cara kita memaafkan, cara kita bertahan dan cara kita terus bangun walaupun hidup tidak selalunya mudah.
Dan sekarang, tanpa kita sedari, kita pula sedang mencipta kenangan untuk generasi selepas kita.
Mungkin suatu hari nanti, anak-anak kita tidak akan mengingati warna dinding rumah ini.
Mereka mungkin tidak akan ingat perabot apa yang pernah ada.
Tetapi saya berharap mereka akan ingat bagaimana rasa berada di rumah ini.
Rasa disayangi.
Rasa diterima.
Rasa selamat.
Rasa bahawa walau apa pun berlaku di luar sana... ada tempat untuk mereka pulang.
Itulah rumah yang saya mahu wariskan.
Bukan rumah yang sempurna.
Tetapi rumah yang penuh dengan jiwa.
Penuh dengan cerita.
Penuh dengan kasih sayang.
Kerana akhirnya. kita mungkin akan meninggalkan rumah ini suatu hari nanti.
Tetapi kenangan yang kita cipta di dalamnya akan terus tinggal.
Dan itulah makna sebenar sebuah rumah.
Kita tidak hanya mewarisi sebuah rumah.
Kita mewarisi sebuah rasa.
Dan kita bertanggungjawab untuk mengisinya dengan cerita yang baik sebelum mewariskannya kepada yang seterusnya.
Sebab itu saya suka rumah saya..
Kerana apabila saya membuka pintunya, saya bukan sekadar masuk ke sebuah rumah.
Saya pulang kepada sebahagian daripada diri saya..
Dan setiap kali saya pulang, hati saya berkata:
"Syukurlah... masih ada rumah untuk aku pulang." ![]()
Nota: Hanya sekadar coretan dari hamba yang hina, serba kekurangan, tidak pandai berbicara tapi masih mahu berkongsi dan menyampaikan apa yang dirasa. Maafkan saya diatas kekurangan ini.
